PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyemak semula kadar gaji minimum pada tahun ini.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, kajian 10 tahun menunjukkan gaji minimum mempunyai kesan positif ke atas mereka yang berpendapatan rendah dengan peningkatan upah bulanan individu hampir 60 peratus dari tahun 2010 hingga 2019.

Bagaimanapun Steven berkata, kerajaan sedar gaji minimum sahaja tidak memadai, terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana.

"Justeru antara prakarsa kerajaan untuk menambahbaik keadaan upah pekerja Malaysia ialah dengan memperkenalkan dasar gaji progresif bagi memacu pampasan upah yang lebih baik.

"Projek rintis dasar gaji progresif yang dilaksanakan bersama Kementerian Ekonomi dijangka akan bermula pada bulan Jun nanti dengan sasaran 1,000 syarikat.

"Kerajaan MADANI telah memperuntukkan RM50 juta untuk projek rintis ini," katanya semasa ucapan Sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 di Putrajaya, pada Rabu.

Steven berkata, dijangka 1.05 juta pekerja Malaysia akan mendapat manfaat melalui pelaksanaan projek rintis dasar gaji progresif pada tahun ini.